hasil tulisan first hand : lubokkawah.blogspot.com
Setelah saya berjaya menubuhkan Cawangan PAS untuk Felda Lubok Merbau, saya kembali ke Temerloh untuk saya lawati pula rancangan-rancangan Felda di lain-lain kawasan di Semenanjung. Tetapi didalam tempoh yang tidak lama selepas itu, Ahli Parlimen Padang Terap telah meninggal dunia, dan satu Pilihanraya Kecil berlangsung di kawasan itu.
Ustaz Fadhil Nor meminta saya bertugas dan bertanggungjawab kepada kempen PAS di Felda Lubok Merbau memandangkan saya sudah mempunyai pengalaman disana dan sudah mengenali petugas-petugas PAS di rancangan itu.
Saya telah pergi ke Felda Lubok Merbau bersama-sama Man Kadir (kini dikenali sebagai Pak Jabit) dan Pak Harun (seorang ahli veteran PAS di Temerloh yang berasal dari Kedah).
Kami telah menubuhkan Markaz PAS disebuah rumah ahli PAS di Felda Lubok Merbau, dan dari masa ke masa tidak kurang dari 50 orang dari dalam dan luar Negeri Kedah menjadi petugas PAS di kawasan Felda itu.
Kami menjalankan kempen di Felda Lubok Merbau dengan cara yang belum pernah dijalankan sebelum ini oleh PAS. Saya mengaturkan bahawa setiap hari akan dilangsungkan pengedaran risalah-risalah penerangan khususnya penerangan mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh peneroka-peneroka Felda.
Setiap hari saya susun beberapa ceramah kelompok, dan sebelum ceramah-ceramah itu dilangsungkan, edaran rumah ke rumah bukan sahaja mengenai penerangan mengenai masalah peneroka-peneroka Felda bahkan juga jemputan ke ceramah-ceramah kelompok itu.
Setiap hari semasa kempen itu berlangsung, tidak kurang dari 3 ceramah sehari diadakan di Felda Lubok Merbau.
Felda Lubok Merbau adalah satu kawasan yang sangat luas dan ribuan penduduk peneroka berada disana.
Didalam semasa kempen pilihanraya kecil itu, sudah hampir 200 orang telah mendaftar sebagai ahli PAS. Walaupun bilangan itu masih kecil berbanding dengan keseluruhan penduduk dan keseluruhan ahli-ahli UMNO, tetapi jumlah itu sudah besar berbanding dengan keahlian PAS sebelum Pilihanraya itu.
Rumah Naza'ie (kalau nama itu saya tidak silap) yang menjadi Markaz PAS untuk kempen PRK Padang Terap itu tidak sunyi dengan kehadiran penyokong PAS. Ramai anggota-anggota PAS dari luar Kedah mengunjungi Markaz itu dan membantu kami menjalankan kerja-kerja kempen seperti menampal poster dan membuat edaran dari rumah ke rumah.
Ahli-ahli UMNO di Lubok Merbau bersikap seperti samseng. Poster-poster yang kami pasang, diturunkan dihadapan mata kami, dikumpulkan dan dibakar dihadapan kami.
Jika kumpulan kami yang menampal poster itu tidak berapa ramai, mereka datang mengepung kami, dan memberikan amaran bahawa jika kami tidak beredar dari situ, mereka akan serang kami.
Demikianlah setiap hari diperlakukan oleh ahli-ahli UMNO Lubok Merbau.
Kami mengambil sikap "mengalah" untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini. Tetapi apabila keadaan menjadi semakin tenat, maka kami dikunjungi oleh lebihkurang 20 orang pemuda-pemuda yang menamakan diri mereka sebagai P.A.S atau yang kami namakan pas titik. Mereka ini bukan ahli PAS dan ramai diantara mereka menjadi ahli UMNO dan sebahagiannya menyokong PAS.
Seorang daripadanya berjanggut panjang, tidak banyak bercakap, tetapi dia memberitahu saya bahawa kumpulannya menjaga keselamatan orang-orang PAS terutamanya pemimpin-pemimpin PAS.
Dimana saja saya pergi memberi ceramah, dia akan berada disitu, dan sesampai saya ke tempat ceramah dia akan memberitahu saya, bahawa keadaan sudah terkawal dan keselamatan saya didalam jagaan yang baik.
Kami juga jemput penceramah-penceramah dari kalangan pimpinan PAS Pusat ke Felda Lubok Merbau, dan kami cuba elakkan ceramah kami itu berdekatan dengan ceramah UMNO untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ustaz Fadhil Nor hadir ke tempat ceramah yang telah kami aturkan. Ribuan manusia menghadiri ceramah itu, dan mereka yang hadir itu bukanlah pengundi-pengundi tempatan, tetapi ramai yang datang dari luar.
Lebihkurang 2 km dari tempat ceramah Ustaz Fadhil itu adalah ceramah UMNO dan penceramahnya ada Ketua Pemuda UMNO iaitu Najib Tun Razak yang diadakan di Balai Raya Felda Lubok Merbau.
Kawasan Balai Raya itu tidaklah jauh dari Markaz PAS. Saya dan beberapa orang yang lain bertugas di Markaz dan beberapa orang lagi mengambil tugas untuk menjaga poster-poster yang kami pasang supaya tidak diturunkan atau dibakar oleh puak-puak UMNO yang sentiasa bersikap seperti samseng.
Semasa Ustaz Fadhil Nor sedang berceramah dan pada masa itu Ceramah UMNO sudah berakhir, kami mendengar jeritan bahawa petugas-petugas kami dipukul dan jatuh bergelimpang didalam longkang.
Dari Markaz kami berkejar ke tempat kejadian yang tidak begitu jauh dari Markaz kami, dan kami lihat 2 orang sudah terbaring, seorang berlumuran darah dan seorang lagi hanya terbaring.
Kami membawa kedua-duanya ke Markaz. Yang berlumuran dengan darah dan yang seorang lagi itu kami segera hantar ke Hospital.
Tidak berapa lama, kami mendengar perkhabaran bahawa salah seorang yang dibawa ke Hospital itu telah meninggal dunia.
Beliau adalah Othman Talib. Rupa-rupanya beliau telah dipukul atau dihentak diatas kepalanya, walaupun tidak berdarah tetapi hentakan itu adalah sangat parah. Maka gugurlah Othman Talib sebagai seorang yang syahid, mempertahankan Islam.
Saya dan Syed Ibrahim, iaitu AJK PAS Pusat yang juga seorang peguam, telah pergi ke Balai Polis Lubok Merbau untuk membuat laporan polis. Kami dikawal oleh pihak Polis sepanjang masa kami berada di Balai Polis itu.
Apabila saya balik ke Markaz ribuan manusia yang menghadiri ceramah Ustaz Fadhil tadi sudah berkumpul di Markaz.
Saya telah rundingkan dengan pihak Polis untuk menyediakan pengangkutan untuk sesiapa yang mahu keluar dari Lubok Merbau, dan pihak Polis mengadakan pengangkutan yang secukupnya.
Akhirnya, tinggallah kami entah berapa kerat di Markaz itu, tetapi saya sentiasa diawasi oleh kumpulan P.A.S yang mengatakan bahawa keselamatan saya didalam jagaan mereka.
Kumpulan P.A.S yang menjaga kami itu turut berhubung dengan kumpulan mereka yang berada dipihak UMNO, dan kedua-dua pihak memberi jaminan bahawa mereka tidak terlibat dengan tindakan jahat puak-puak UMNO itu.
Pada waktu malam itu, kami berjaga di Markaz PAS, tidur secara bergilir-gilir dan kami memang bersiap sedia menghadapi apa-apa kemungkinan jika diserang oleh pengganas-pengganas UMNO itu.
Disitulah saya lihat siapa wira dan siapa pengecut, dan saya memang tidak hormat kepada golongan pengecut yang berdahulu-dahuluan meninggalkan markaz PAS itu dan yang hanya mahu menyelamatkan diri sendir.
Naza'ie meminta saya meninggalkan Markaz PAS itu untuk mengelakkan kemungkinan keselamatan saya terjejas. Tetapi saya enggan meninggalkan Markaz itu, saya berikrar bersama Man Kadir (Pak Jabit) dan Pak Harun bahawa kami akan berada di Felda Lubok Merbau sehingga selepas Pilihanraya itu untuk mempastikan Naza'ie dan keluarganya tidak diganggu oleh penjahat-penjahat UMNO, dan anggota-anggota P.A.S juga mengambil ikrar yang sama.
Setelah PRK itu saya kembali ke Temerloh dan didalam ceramah yang diadakan di Darul Amin, Temerloh, saya turut melahirkan rasa dukacita dan kesal saya dengan perangai sesetengah ahli dan pemimpin PAS yang meninggalkan kami di Felda Lubok Merbau untuk berhadapan dengan penjahat-penjahat UMNO. Apa-apa boleh berlaku kepada kami.
Sebagai mengenangkan peristiwa itu, saya tuliskan dua buah buku diatas tajuk yang sama iaitu PERISTIWA BERDARAH FELDA LUBOK MERBAU DAN PERISTIWA BERGAMBAR FELDA LUBOK MERBAU.
Kedua-dua Buku ini telah diharamkan, dan saya diberitahu tentang pengharaman buku-buku ini semasa saya berada didalam tahanan ISA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
sapa-sapa pun boleh komen...tapi yang berkaitan sahaja...
nak ceghita pasai MLM tang ni, boleh blah...dan kalau dah komen tu, tlg lah boh nama...nama pendek ka, panjang ka...nama penuh ka.....