Blog Member

Rabu, 4 Januari 2012

Ubat RM1 juta ditemui

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my
Mohmad (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian ubat-ubatan yang ditemui semula pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Kontroversi kehilangan ubat bernilai RM1.078 juta dari stor Farmasi Neuro Sains Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 27 Disember lalu mula terungkai apabila kesemua ubat-ubatan itu ditemui semula di dalam sebuah tong sampah besar berhampiran bangunan pejabat kerajaan di Jalan Duta di sini pada Ahad lalu.

Ubat-ubatan tersebut ditemui pada pukul 7.30 malam hasil soal siasat terhadap tiga lelaki termasuk seorang tukang cuci warga Indonesia yang ditahan pada 29 Disember dan 1 Januari lalu. Mereka yang ditahan berusia 21 hingga 36 tahun.

Ketika ditemui, kesemua 16 jenis ubat-ubatan untuk kegunaan pesakit berkaitan penyakit saraf seperti sawan itu dimasukkan ke dalam 27 beg pakaian besar.

Difahamkan, semasa ubat-ubatan itu ditemui tiada sampah atau bahan buangan lain dalam tong sampah tersebut.

Jarak HKL dengan tong sampah tersebut dianggarkan kira-kira 10 kilometer. Tong sampah yang diletakkan di kawasan terpencil itu dipercayai menjadi tempat ubat-ubat itu disembunyikan.

DALAM tong sampah di Jalan Duta inilah ubat-ubatan dari HKL dipercayai ditemui semula pada Ahad lalu
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, tiga lelaki yang ditahan itu termasuk dua kakitangan yang bertugas di HKL.

Susulan penahanan dua lelaki itu, polis menahan seorang lagi kakitangan Farmasi Neuro Sains Hospital Temerloh, Pahang pada 1 Januari lalu.

“Tukang cuci dan kakitangan Farmasi Neuro Sains HKL itu ditahan di tempat mereka bekerja manakala staf dari Temerloh itu ditahan di satu lokasi di ibu negara,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Akhbar pada Ahad lalu melaporkan, seorang kakitangan HKL membuat laporan polis pada 27 Disember lalu selepas mendapati sejumlah besar ubat-ubatan di HKL berkurangan ketika dia membuat pemeriksaan stok pada pukul 7.25 pagi hari sama.

Polis kemudian menahan dua lelaki yang bertugas di HKL.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sapa-sapa pun boleh komen...tapi yang berkaitan sahaja...
nak ceghita pasai MLM tang ni, boleh blah...dan kalau dah komen tu, tlg lah boh nama...nama pendek ka, panjang ka...nama penuh ka.....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...