Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 1, 2012
sinarharian.com.my
KAMPUNG GAJAH - Bagi menuntut bayaran pampasan yang sepatutnya diterima, sekumpulan bekas pekerja sebuah kilang, di sini, telah berhimpun dan berdemonstrasi secara aman di hadapan kilang berkenaan, pada Khamis lalu.
Bekas pekerja, Muhamad Alias, 47 mendakwa, kilang berkenaan telah kembali beroperasi setelah ditutup pada enam tahun lalu sedangkan bayaran pampasan yang dijanjikan kepada mereka masih belum dilunaskan.
Katanya, keadaan itu telah menyebabkan 447 bekas pekerja kilang yang diberhentikan pada ketika itu merasa tidak puas hati kerana pihak kilang berkenaan tidak menunaikan janji mereka.
“Enam tahun lalu, kami dimaklumkan kilang berkenaan telah muflis menyebabkan pekerja terpaksa diberhentikan dan kami dijanjikan pampasan kerana diberhentikan.
“Namun sehingga kini kami belum menerima apa-apa bayaran pampasan sehingga kilang itu beroperasi semula dan keadaan ini menyebabkan kami tidak puas hati,” katanya ketika ditemui semasa perhimpunan berkenaan, Khamis lalu.
Muhamad berkata, pihak kilang sepatutnya menjelaskan bayaran pampasan kepada bekas pekerja terlebih dahulu sebelum memulakan kembali operasi kilang berkenaan.
“Setelah diberhentikan, tentunya bekas pekerja akan mengalami masalah kewangan dan tentunya kami memerlukan wang, tambahan musim persekolahan hampir tiba, yang mana memerlukan perbelanjaan besar.
“Kami merayu mereka untuk membayar pampasan yang kami tuntut dan tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke pengetahuan pihak atasan jika kilang itu gagal berbuat demikian,” katanya.
Seorang lagi bekas pekerja, Kamariah Mohd Yasin, 45 mendakwa, bayaran pampasan sebanyak RM7,800 yang dijanjikan kepadanya masih tertunggak sejak Ogos 2006.
Menurutnya, kilang berkenaan masih beroperasi ketika dia diberhentikan tanpa diberikan sebarang alasan secara langsung.
“Hanya selepas dua minit selepas diberhentikan pada waktu itu, baru pihak kilang memaklumkan kami yang kilang itu telah muflis dan terpaksa ditutup.
“Selain bayaran pampasan, pihak kilang juga pernah berjanji untuk mengambil kami kembali bekerja apabila kilang itu beroperasi kembali, namun semuanya hanya tinggal janji-janji kosong,” katanya.
Kamariah memaklumkan, perkara itu telah diajukan kepada beberapa pihak, termasuk wakil rakyat dan Jabatan Tenaga Kerja untuk diselesaikan, bagaimanapun tiada sebarang perubahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
sapa-sapa pun boleh komen...tapi yang berkaitan sahaja...
nak ceghita pasai MLM tang ni, boleh blah...dan kalau dah komen tu, tlg lah boh nama...nama pendek ka, panjang ka...nama penuh ka.....