Blog Member

Khamis, 5 Januari 2012

Syabu RM630j dirampas

Oleh Haika Khazi
haikakhazi@bharian.com.my
2012/01/05


PENOLONG Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ibu Pejabat Putrajaya, Datuk Zainul Abidin Taib (dua dari kanan) bersama pegawai kastam menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM 630 juta selepas sidang media di Pejabat Kastam KLIA, semalam.Dua lelaki tempatan, 2 warga asing ditahan dekat plaza tol Bukit Raja, Klang

SEPANG: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas 903.2 kilogram syabu bernilai kira-kira RM630 juta, dalam satu serbuan berdekatan Plaza Tol Bukit Raja Klang, Sabtu lalu.
Berikutan rampasan dadah terbesar setakat ini, dua lelaki tempatan dan dua warga asing iaitu seorang ahli perniagaan dari Taiwan dan seorang lagi warga Singapura berusia antara 35 hingga 55 tahun ditahan.
Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila KDRM Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (KLIA) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menerima maklumat orang awam berkaitan dua kenderaan yang dipercayai membawa dadah melalui Plaza Tol Bukit Raja menuju ke Pulau Pinang.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) KDRM, Datuk Zainul Abidin Taib, berkata berikutan itu KDRM KLIA dan polis menubuhkan pasukan khas bagi menjejaki dan membuat serbuan.

Sekitar jam 8.30 malam, pasukan itu berjaya memintas sebuah van dan pacuan empat roda selepas mereka melalui tol Bukit Raja, Klang, menghala keluar tol Bukit Tagar Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dipercayai menghala ke Pulau Pinang bagi menghantar syabu mentah itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut, KDRM menemui lima juta biji pil (seberat 903.2 kg) dimasukkan ke dalam 5,000 botol yang diikrar sebagai ubat selesema. Ujian awal menunjukkan ia positif Methamphetamine (syabu).
"Kita percaya pil syabu itu jika diproses semula mampu menghasilkan 18 juta pil khayal yang dianggar mempunyai nilai pasaran melebihi RM630 juta atau RM35 sebiji," katanya pada sidang media di pejabat KDRM KLIA di sini, semalam.

Zainul Abidin berkata, empat lelaki termasuk dua warga asing ketika menaiki van dan pacuan empat roda berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pada masa sama, KDRM dan polis juga sudah mengenal pasti dua lagi individu termasuk rakan ahli perniagaan Taiwan yang kini berada di Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, KDRM KLIA juga berjaya mematah cubaan seorang rakyat Maghribi dan dua warga Jerman berusia 25 dan 26 tahun kerana cuba menyeludup serbuk kristal dipercayai syabu seberat 10.2 kg bernilai sekitar RM2.6 juta yang disembunyikan dalam tiga bagasi sejurus tiba di KLIA, kira-kira jam 8.45 pagi, Ahad lalu.

Hasil pemeriksaan terhadap bagasi itu, kastam menemui beberapa bungkusan mengandungi serbuk putih dipercayai syabu seberat 3.4 kg yang disembunyikan dalam ruangan khas di bahagian bawah beg dan ditutupi pelapik keras serta diuji positif syabu.

"Modus operandi digunakan agak berlainan kerana sengaja menukarkan bagasi masing-masing antara satu sama lain bagi mengelirukan pihak berkuasa," katanya yang turut mendedahkan warga Maghribi berusia 26 tahun berkenaan sudah tiga kali memasuki Malaysia dipercayai untuk menyeludup dadah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sapa-sapa pun boleh komen...tapi yang berkaitan sahaja...
nak ceghita pasai MLM tang ni, boleh blah...dan kalau dah komen tu, tlg lah boh nama...nama pendek ka, panjang ka...nama penuh ka.....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...