Blog Member

Rabu, 4 Januari 2012

Kes jenayah yang menjadi-jadi

4 dibunuh kejam
Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan David Tengah
bharian.com.my 
2012/01/04

Anggota polis mengangkat seorang daripada empat mangsa bunuh di RTM Road Lane, di Sibu, semalam
Isteri mangsa bunuh (kiri) ditenangkan ahli keluarga, semalam.Usahawan, dua anak serta ibu dipukul hingga mati angkara perniagaan

SIBU: Empat beranak, termasuk dua kanak-kanak berusia 7 dan 10 tahun dipukul hingga mati menggunakan objek tumpul di rumah mereka di RTM Road Lane di sini, semalam, dipercayai akibat pertelingkahan perniagaan.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa adalah ahli perniagaan yang juga pengarah sebuah syarikat, Ling Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76; serta dua anaknya, Amy Ling Zi Jiun, 7 dan David Lung Chei Qi, 10.

Seorang lagi anak Tong Hock, iaitu Kelvin Ling Chei You, 8, selamat, tetapi terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu akibat koma selepas cedera di kepala, manakala isterinya, Li Xiao Lan, 28, seorang warga China sempat menyelamatkan diri melalui tingkap.

Difahamkan, polis menahan seorang wanita warga China yang mempunyai kaitan dalam perniagaan Tong Hock petang semalam, bagi membantu siasatan. 

Wanita itu ditahan berdekatan lokasi kejadian sebelum dibawa ke IPD Sibu dan dijangka ditahan reman pagi ini. Suspek berusia 30-an itu dipercayai sudah menetap lama di negara ini dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga mangsa termasuk menguruskan perniagaannya.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, berkata semua mangsa dipercayai dibunuh sekumpulan penjenayah yang menceroboh rumah berkenaan ketika ada antara mangsa sedang tidur. 
“Siasatan mendapati mangsa dipukul beberapa kali dengan senjata tumpul di kepala dan badan. Ahli perniagaan itu turut dikelar lehernya,” katanya.

Beliau berkata, polis yakin penjenayah memasuki rumah itu untuk membunuh semua penghuninya dan menolak kemungkinan motif rompakan kerana semua barang berharga milik mangsa langsung tidak disentuh.

Kanak-kanak itu dan nenek mereka dibunuh dalam bilik di tingkat atas, manakala mayat Tong Hock ditemui di bilik tidur utama. Difahamkan, ahli perniagaan itu sempat mengarahkan isterinya keluar melalui tingkap dan menyembunyikan diri sebelum pembunuh memasuki bilik mereka.

Anggota Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan, termasuk mengesan suspek yang dipercayai masih berada di negeri ini.

Shafie berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku salah faham atau pertelingkahan membabitkan Tong Hock dengan musuh perniagaan menjadi motif pembunuhan kejam itu.

“Kita masih menyiasat motif dan siasatan dibuat dari pelbagai sudut, termasuk persaingan perniagaan. Satu-satunya saksi ketika ini adalah isteri mangsa dan kita masih menunggu keadaannya stabil bagi meneruskan siasatan,” katanya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, manakala gerakan memburu suspek sudah dilancarkan di seluruh negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

sapa-sapa pun boleh komen...tapi yang berkaitan sahaja...
nak ceghita pasai MLM tang ni, boleh blah...dan kalau dah komen tu, tlg lah boh nama...nama pendek ka, panjang ka...nama penuh ka.....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...